Instagram

Saringan Darah Penting Untuk Mengesan Hepatitis

by - Thursday, November 01, 2012

http://www.bernama.com/bernama/v6/newsindex.php?id=705861

October 31, 2012 15:05 PM
Saringan Darah Penting Untuk Mengesan Hepatitis

Oleh Shahrul Aini Saharan

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Statistik oleh pihak berkuasa kesihatan dunia mencatatkan bahawa tiga hingga empat bilion penduduk dunia dijangkiti Hepatitis C dengan 170 juta pesakit berada pada tahap kronik.

Sebagai ancaman terbaharu dunia, kematian akibat hepatitis C mencecah 350,000 orang setiap tahun.

Tidakkah anda berasa gempar mengenai keadaan ini?

Dianggarkan 1.5 peratus polulasi di Malaysia adalah pesakit Hepatitis C, kata Pakar Perubatan Hepatologi Hospital Selayang, Dr Mohd Shamsul Amri.

Beliau berkata, seseorang yang tidak sedar bahawa dia menghidap hepatitis C juga berkemungkinan menjangkitkan penyakit itu kepada orang lain tanpa pengetahuannya.

HEPATITIS C TANPA SIMPTOM

Tidak seperti kebanyakan penyakit lain, Hepatitis C adalah jangkitan yang sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa simptom.

Dr Mohd Shamsul berkata, hepatitis C sering menerima gelaran sebagai pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti sehingga bertahun-bertahun malahan berpuluh-puluh tahun lamanya.

Apa yang menyedihkan, pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa sehingga mendapat tanda serangan virus pada tahap kritikal, katanya.

Tidak kurang juga pesakit Hepatitis C yang hanya menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan hati atau pertumbuhan barah hati.

KONGSI JARUM SUNTIKAN PUNCA UTAMA

Cara jangkitan virus Hepatitis C lebih kurang sama seperti cara jangkitan HIV. Sebelum tahun 1994 sebelum adanya saringan untuk virus Hepatitis C, jangkitan boleh berlaku menerusi perkongsian jarum suntikan dan pemindahan darah.

Lebih 60 peratus punca jangkitan HCV ialah melalui perkongsian jarum suntikan, kata Dr Mohd Shamsul.

Mereka yang pernah atau sedang menjalani rawatan hemodialisis, bertindik dan melukis tatu, rawatan akupunktur dan bercukur kepala juga boleh mendedahkan seseorang kepada hepatitis C.

BARAH HATI

Jangkitan virus Hepatitis C mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum merosakkan hati sepenuhnya dan jangkitan itu melalui beberapa peringkat bermula daripada jangkitan, dengan pesakit tidak merasakan perubahan.

Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan berakhir dengan barah hati yang sukar dirawat.

Dalam sesetengah kes hati mampu menghapuskan virus ini dan kesihatan kembali pulih seperti sediakal.

Namun, dalam 85 peratus kes, hepatitis C adalah satu keadaaan kronik yang terpaksa dilalui sepanjang hayat, kata Dr Mohd Shamsul.

RAWATAN

Selain faktor genetik, soal usia dan metabolisme turut mempengaruhi peluang penyembuhan seseorang pesakit Hepatitis C.

Kejayaan rawatan juga bergantung kepada sejauh mana kerosakan hati.

Dr Mohd Shamsul berkata walaupun sehingga kini masih tiada vaksin untuk Hepatitis C, peluang pesakit untuk sembuh lebih tinggi jika mendapat rawatan awal.

Ubat yang diberikan kepada pesakit bertujuan menghentikan tindakan virus. Ia boleh diambil melalui suntikan setiap minggu dan ubat makan selama enam atau 12 bulan bergantung kepada jenis Hepatitis C.

KESEDARAN ORANG RAMAI

Kesedaran orang ramai untuk memahami mengenai penyakit hepatitis C perlu dipertingkatkan.

Dr Mohd Shamsul menyarankan mereka yang berisiko penyakit ini, membuat pemeriksaan darah untuk mengenalpasti antibodi Hepatitis C. Pemeriksaan darah boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta.

Walaupun kemajuan farmaseutikal dapat menawarkan lebih peluang kepada pesakit yang menderita Hepatitis C, namun usaha itu perlu dilakukan selari dengan pengesanan awal bagi memastikan kejayaan berganda.

Sambutan Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai, bertemakan 'It's Closer than You Think'.

-- BERNAMA

You May Also Like

0 comments